
Benarkah Sayyidina Umar Membunuh Anak Perempuannya ?
Ada beberapa buah buku yang disebarkan dengan agak meluas di dalam masyarakat memuatkan kisah Sayyidina Umar r.a. yang kononnya telah membunuh seorang anak perempuan dengan menanamnya hidup-hidup, seperti buku Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), ms. 50-51.
Jika cerita yang seperti ini disiarkan oleh musuh Islam tentu sekali tidak ada maksud lain lagi bagi mereka selain untuk memburuk-burukkan imej Sayyidina Umar r.a. sebagai sahabat karib Rasulullah s.a.w. dan khalifah agung umat Islam. Cerita yang seperti ini jika disebarkan oleh kalangan Ahl as-Sunnah wal Jama’ah, pada pandangan penulis ada dua kemungkinan yang mendorong mereka menyebarkannya.
Pertama : Kerana Jahil, dan,
Kedua : adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar berada di zaman Jahiliyyah. Apa peliknya andaikata semasa jahiliyyah itu Sayyidina Umar telah melakukan sedemikian ! selain itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam ? dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk peribadi manusia yang kejam seperti Sayyidina Umar itupun apabila memeluk Islam telah menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian.
Bagi penulis tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana ini telah pun terbukti melalui sekelian banyak riwayat-riwayat yang sahih. Tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a. ini ? Apakah kedudukannya ? Adakah ia memang berasas atau ia hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata ? Alangkah berguna kepada para pembaca sekelian sekiranya penulis-penulis buku dan artikel-artikel ini mengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.
Kisah ini tidak akan dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam kitab-kitab hadith atau kitab-kitab sejarah yang Mu’tabar. Tentu sekali ia mulanya direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali kita umat Islam hari ini jesteru menerima apa sahaja yang disogokkan dalam bentuk cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah s.a.w. telahpun bersabda yang bermaksud,
“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa saja yang didengarnya.” (Hadith Riwayat Muslim)
Tujuan penulis mengoreksi artikel-artikel tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup sahabat Rasulullah s.a.w. dan juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. kerana mereka adalah cermin agama Islam. Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a. menanam hidup-hidup anak perempuannya begini ceritanya…
“…..Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangkannya masuk ke dalam lubang yang digalinya. Ia menangis. Umar tidak menghiraukannya…. Umar menutupkan mata dan terfikir, “Oh! Anakku yang mais dan pintar. Mengapa engkau dilahirkan sebagai perempuan?” ia menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “Umar jangan jadi pengecut,,” tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali ditelinganya. Lalu sambil menahan kesedihan, Umar meneruskan lagi menimbuskan pasir ke lubang tadi, sehingga anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir….”
Kisah ini selain dari tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan Mu’tabar, ia juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulama Islam dalam menilai sesuatu cerita. Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah :
1. Tidak ada satupun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan membuktikan seorangpun daripada Qabilah Quraisy menanam anaknya hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a. membunuh anak perempuannya.
2. Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah Qabilah Bani Tamin dan As’ad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka kerana anak-anak itu. (Muhd Tayyib an-Najjar di dalam kitab al-Qabasu al-Waddha’, ms. 78, Zakaria Bashier dalam The Meccan Crucible. Ms. 24) sebagaimana adanya riwayat yang menyebutkan Qais bin Asim seorang pemimpin Qabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk agama Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman Jahiliah.
Di sana terdapat juga riwayat yang menyebutkan seorang pemimpin dari kalangan Bani Tamim juga telah menyelamatkan sekian ramai anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan. Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada al-Farazdaq seorang penyair Arab yang terkenal dan Zaid bin Amar bin Nufail. Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibubapanya kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang. (at-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 8, ms. 77).
Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakatnya yang menyekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki baki peninggalan agama Nabi Allah Ibrahim a.s. Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapa lalu memelihara mereka hinggalah dewasa. Dia kemudian akan membawa anak perempuan itu kepda kedua ibubapanya lalu berkata kepada mereka, “Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini boleh kamu mengambilnya atau kalau kamu tidak mahu biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” (Bukhari, jld. 1, ms. 540)
Zaid bin Amar bin Nufail bukan sahaja keluarga Sayyidina r.a. malah beliau adalah sepupu kepada Sayyidina Umar r.a. Adik perempuan Sayyidina Umar r.a. menjadi isteri kepada anaknya Sa’id dan anak perempuan Zaid pula menjadi Isteri Sayyidina Umar r..a sendiri. Takkanlah keluarga yang terkenal dalam usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menonjol dan yang terpenting kepada mereka sendiri melakukan perbuatan yang terkutuk ini dengan membunuhnya anaknya sendiri.
3. Setelah Mekkah dibuka, Rasulullah s.a.w. berbai’ah dengan perempuan-perempuan Mukmin, di antara ucapan Baginda s.a.w. ialah :
“Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun tiba-tiba berkata, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuh mereka.” Peristiwa itu tersebut di dalam kitab-kitab hadith dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci. Kata-kata hindun ini menunjukkan Qabilah Quraisy tidak terlibat di dalam adat yang keji ini. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu sabda Baginda s.aw. yang bermaksud,
“Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka paling menjaga kedudukan dan harta benda suaminya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Apa ertinya pujian Nabi s.a.w. ini terhadap sifat penyayang mereka terhadap anak-anak sekiranya mereka juga seperti qabilah-qabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak-anaknya ? Sewaktu Nabi s.a.w diutuskan menjadi nabi, Sayyidina Umar r.a. ketika itu berumur 27 tahun. Anak-anak Sayyidina Umar r.a. yang lahir sebelum Islam semuanya masih hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.
4. Dalam tradisi Arab, seseorang dikuniahkan dengan nama anak sulungnya seperti kuniah Nabi kita s.a.w. ialah Abu Qasim, manakala kuniah Sayyidina Umar r.a. ialah Abu Hafsin merujuk kepada Hafsah, anak sulung perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a. yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.
5. Perlu juga diperhatikan bahawa di sepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri Sayyidina Umar r.a. dan juga hamba sahayanya di samping anaknya daripada mereka itu ? Kerana sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina r.a. Imam Ibn Jauzi dan lain-lain menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar r..a dan anak-anaknya di samping hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a. mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah :
i) Zainab bt. Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Uthman bin Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan dan saudara sesusu dengan Nabi s.a.w. Dengan Zainab ini Sayyidina Umar .ra. telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.
ii) Atikah bt. Zaid bin Amar bin Nufail. Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Iyadh.
iii) Isteri yang ketiga ialah Jamilah bt. Thabit bin Aflah. Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.
iv) Ummul Hakam bt. Al-Harith bin Hisyam. Daripadanya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.
v) Ummul Kulthum bt, Jarwal bin Malik. Daripadanya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar.
vi) Ummul Kulthum bt. Ali bin Abi Talib. Daripadanya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah.
vii) Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar r.a. telah mendapat anak. Daripada Fukayyah beliau mendapat anak perempuan bernama Zainab dan daripada Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman al-Autsar dan Abdul Rahman al-Ashghar.
Jadi anak-anak Sayyidina Umar r.a. adalah seperti berikut :
Lelaki :
1. Abdullah
2. Abdul Rahman al-Akbar
3. Abdul Rahman al-Ausath
4. Abdul Rahma al-Ashghar
5. Zaid al-Akbar
6. Zaid al-Ashghar
7. Ubaidullah
8. ‘Aasim
9. ‘Iyadh
Perempuan :
1. Hafsah
2. Ruqayyah
3. Fatimah
4. Zainab
Daripada isteri pertamanya Zainab bt. Maz’un, Sayyidina Umar hanya mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya daripada Zainab bt. Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafsin. Pada ketika beliau (Sayyidina Umar) memeluk Islam, beliau hanya mempunyai 3 orang anak ini sahaja. Kalau begitu anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a. itu ? apakah namanya dan apakah nama ibunya ? Kalaulah Sayyidina Umar r.a. betul-betul bencikan atau tidak suka kepada anak perempuan, kenapa pula beliau memakai kuniah Abu Hafsin ? Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logic Sayyidina Umar r.a. baru mengetahui identity anaknya samaada lelaki ataupun perempuan setelah anak itu berumur 4 tahun ?
Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh Imam Daarimi di dalam Sunannya, atau mingkin ia pura-pura terkeliru. Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengahdap Rasulullah s.a.w. lalu dia berkata,
“Wahai Rasulullah ! Kami dahulu orang-orang Jahiliah. Kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya mempunyai seorang anak perempuan. Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya. Dia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga. Saya memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Ucapan terakhir yang keluar dari dalam mulutnya ialah ayah !” Mendengar ceritanya itu Nabi s.a.w. menangis, orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi s.a.w. berkata kepada orang itu, “Kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah s.a.w.” Nabi bersabda, “Orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih penting dari itu.” Seraya baginda s.a.w. berkata kepada orang itu, “Ceritakanlah sekali lagi kisah itu.” Orang itupun mengulangi sekali lagi kisah itu sehingga Rasulullah s.a.w. menangis hingga basah janggutnya. Kemudian Nabi s.a.w. bersabda, “Perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman Jahiliah telah dihapus oleh Allah s.w.t. dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakan amalan-amalan yang lain.” (Sunan Daarimi, jld. 1, ms. 3)
Ini adalah satu kisah seorang yang tidak diketahui siapa orangnya, apa namanya? Mungkin
orang-orang yang mempunyai maksud jahat mengaitkan cerita ini kepada Sayyidina Umar r.a. padahal cerita inipun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak disabitkan kerana Wadhin merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80 H. dan wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain di atasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya !
Dalam istilah ilmu Hadith, rawayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’, kerana perawi di atasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulama Rijal Hadith tentangnya. Imam Bukhari, Muslim dan Nasa’I tidak mahu menerima riwayatnya. Ibn Saad berkata, “Dia seorang yang dhoief” Abu Hatim berkata, “Setengah-setengan riwayatnya baik, tetapi setengah yang lain sangat buruk.” Jauzajani berkata, “Riwayat-riwayatnya adalah lemah.” (Mizan al-I’tidal, jld. 4, ms. 336).
Hafidz Ibn Hajar menulis bahawa, “Ingatannya sangat teruk.” Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan pula tidak disebutkan dengan jelas namanya, kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyidina Umar r.a.? tentu sekali perbuatan seperti ini tidak bermakna dilakukan kecuali oleh musuh-musuh Islam.
Siri Permunian Sejarah Awal Islam
Oleh : Ustaz Muhammad Asri bin Yusuf